Melaka galak orang ramai pakai pelitup muka di tempat awam
Bernama
April 29, 2023 16:50 MYT
April 29, 2023 16:50 MYT
MELAKA: Kerajaan negeri Melaka menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam termasuk di sekolah, terutama membabitkan mereka yang bergejala COVID-19 seperti saranan Kementerian Kesihatan (KKM).
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata berkata langkah itu sebagai salah satu usaha untuk mengekang penularan COVI9-19 di negeri itu walaupun kes harian wabak berkenaan dilaporkan semakin berkurang.
"Melaka akan mengikuti saranan, garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan atau dikeluarkan KKM sekiranya ada, dan setakat ini pemakaian pelitup muka di tempat awam hanya disarankan, bukan diwajibkan.
"Namun sekiranya dalam masa terdekat, pemakaian pelitup muka diwajibkan, maka kita akan mengikuti SOP itu," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
KKM sebelum ini mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes COVID-19, selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.
-- BERNAMA