Melaka dijangka beralih ke Fasa 4 PPN minggu hadapan

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 14, 2021 11:47 MYT
Melaka sepatutnya sudah beralih ke Fasa 4 lebih awal, namun mengambil kira jangkitan kes harian COVID-19 yang masih tinggi. - Gambar fail/BERNAMA
AYER KEROH: Melaka dijangka beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada minggu hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa COVID-19 di peringkat kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu.
Beliau berkata, Melaka sepatutnya sudah beralih ke Fasa 4 lebih awal, namun mengambil kira jangkitan kes harian COVID-19 yang masih tinggi, peralihan itu terpaksa ditangguhkan.
"Dalam mesyuarat jawatankuasa COVID-19 peringkat kebangsaan tempoh hari yang dipengerusikan Perdana Menteri, Melaka sepatutnya boleh bersama Pahang untuk masuk Fasa 4.
"Tetapi melihat pada kes jangkitan harian itu sedikit tinggi, maka diminta untuk tangguhkan dulu.
"Sudah pasti minggu hadapan, saya yakin ia akan diputuskan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan webinar Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2021 peringkat negeri Melaka di Hotel MITC, hari ini.
Untuk rekod, Melaka mula beralih ke Fasa 3 PPN pada 1 Oktober lalu sekaligus membuka lebih banyak sektor ekonomi termasuk pelancongan.
Melaka sebelum ini bagaimanapun mengambil keputusan menangguhkan kemasukan pelancong domestik ke negeri itu yang sepatutnya dibuka pada 1 Oktober lalu sementara menunggu prosedur operasi standard (SOP) khas dimuktamadkan Majlis Keselamatan Negera (MKN) negeri.
Susulan pengumuman kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Melaka akan membuka semula ‘gerbang’ pelancongan negeri secara rasmi bermula Jumaat ini.
Mengikut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), setakat ini 89.6 peratus individu dewasa di negeri ini telah lengkap menerima dus dos suntikan vaksin COVID-19.
#PPN #COVID-19 #Melaka
;