Melaka cadang wujudkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan libatkan tiga negeri

Bernama
Julai 25, 2024 21:00 MYT
Ab Rauf berkata satu jawatankuasa induk akan dibentuk bagi memulakan rundingan, gerak kerja dan kajian kerjasama berkaitan penubuhan Koridor Ekonomi Anjung Selatan dalam masa terdekat. - Foto fail/Astro AWANI/Shahir Omar
JASIN: Kerajaan Melaka bercadang mewujudkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan melibatkan tiga negeri termasuk Negeri Sembilan dan Johor yang akan memberi manfaat dalam pelbagai aspek kepada negeri berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata satu jawatankuasa induk akan dibentuk bagi memulakan rundingan, gerak kerja dan kajian kerjasama berkaitan penubuhan Koridor Ekonomi Anjung Selatan dalam masa terdekat.
"Memandangkan ketiga-tiga negeri ini terletak saling bersempadan, satu pembangunan koridor ekonomi yang boleh memberikan kepentingan bersama kepada negeri dan rakyat ketiga-tiga negeri mesti diwujudkan.
"Antara kerjasama yang boleh dilakukan di bawah Koridor Ekonomi Anjung Selatan ialah sektor pelancongan ... sebagai contoh, Negeri Sembilan dan Melaka terkenal dengan ekopelancongan yang boleh dijadikan industri sokongan antara kedua-dua negeri berbanding menjadi pesaing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Julai 2024 dan Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka anjuran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Ab Rauf berkata selain itu, kerjasama dalam sektor industri antara ketiga-tiga negeri berkenaan juga boleh diwujudkan terutama mereka yang tinggal di sempadan negeri terlibat.
"Permohonan kajian semula cadangan pembinaan lebuh raya Pantai Barat kepada kerajaan pusat oleh tiga negeri ini boleh dikemukakan semula dalam usaha mengurangkan kesakan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan terutama pada musim perayaan dan hujung minggu.
"Saya percaya, kewujudan ekonomi ini dapat mencuri perhatian kerajaan Persekutuan dalam melengkapkan keperluan antara negeri terlibat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata sebanyak 54 agensi dan anak syarikat kerajaan negeri yang mengalami kerugian diingatkan agar segera melaksanakan penambahbaikan daripada aspek perniagaan dan pengurusan supaya dapat membaiki kelemahan dan mencapai pulangan serta keuntungan kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata semua agensi dan anak syarikat kerajaan negeri terlibat juga sedang dipantau bagi memastikan mengikut tatakelola sebaik-baiknya mengikut petunjuk prestasi utama yang ditetapkan.
"Justeru, saya mewajibkan semua ketua eksekutif agensi yang mewakili pemegang saham dalam semua anak syarikat di bawahnya memulakan usaha untuk memanggil pengurusan anak syarikat terbabit bagi mengadakan mesyuarat.
"Menyuarat berkenaan bertujuan membuat pemantauan dan melihat aspek pencapaian meliputi sasaran unjuran untung rugi yang telah pun menjadi panduan dan komitmen kepada semua ketua eksekutif anak syarikat bagi memastikan sasaran hasil dan perbelanjaan tahunan dapat dicapai," katanya.
-- BERNAMA
#musim perayaan #sektor pelancongan #perbelanjaan tahunan #sasaran hasil