Melaka buat pemutihan sewaan TKPM, lesen nelayan tahun depan
Bernama
November 30, 2023 15:45 MYT
November 30, 2023 15:45 MYT
MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka akan melaksanakan pemutihan terhadap sewaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan lesen nelayan bagi mengelak ia 'dialibabakan' oleh pihak ketiga.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Salleh berkata ketika ini, terdapat petani yang terpaksa membayar harga sewaan tiga kali ganda lebih mahal daripada jumlah sewaan sebenar di beberapa TKPM diwujudkan kerajaan negeri.
"Kita kena tegas dalam hal ini kalau kita nak memastikan penguatkuasaan undang-undang berjalan dengan baik.
"Kalau tak selama-lamanya nelayan, petani dan penternak akan ditindas dan sekali gus dapat membantu memastikan keterjaminan makanan dalam negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pertanyaan bertulis dan jawapan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini, hari ini.
Menurut Dr Muhamad Akmal, TKPM diwujudkan untuk membantu petani mendapatkan sewa tanah dengan harga murah, sekitar RM1,500 setahun untuk tiga hektar tanah namun disewakan dengan harga lebih tinggi selepas lesen diperoleh pihak ketiga.
Perkara sama berlaku pada lesen nelayan apabila ada pihak yang telah mendapat lesen tetapi tidak turun ke laut, menyebabkan kuota di kawasan tertentu penuh dan tidak dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar ingin menjadi nelayan, katanya.
-- BERNAMA