Melaka beri insentif RM3,000 dan RM1,000 kepada pelajar cemerlang
Bernama
Januari 1, 2017 18:33 MYT
Januari 1, 2017 18:33 MYT
Kerajaan Negeri Melaka melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) akan memberikan insentif RM3,000 dan RM1,000 masing-masing kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan
Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata ganjaran itu akan diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan tersebut.
Beliau berkata pemberian insentif itu adalah bagi menggalakkan pelajar supaya meningkatkan tahap kecemerlangan masing-masing sekali gus memperkasa tahap pendidikan di negeri ini.
"Ini bagi mendorong pelajar berusaha bersungguh-sungguh daripada awal dan bukan hanya mengulang kaji bila tiba musim peperiksaan sahaja," katanya pada sidang berita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada 31 pelajar sekolah rendah dan menengah di Klebang Kecil. Turut hadir Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa negeri Datuk Lim Ban Hong dan Pengurus Besar Tapem Mustafa Musa.
Sementara itu, Idris berkata kerjasama, sokongan padu dan komitmen berterusan daripada masyarakat adalah amat diharapkan dalam usaha memajukan lagi negeri ini kerana ia merupakan tanggungjawab bersama. -- Bernama