Melaka benar solat sunat Aidilfitri di surau, padang terbuka jika dapat kelulusan

Bernama
Mac 17, 2025 17:45 MYT
Terdapat permintaan daripada penduduk kampung yang mahukan tempat tambahan bagi melaksanakan ibadah itu kerana masjid sedia ada tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai. - Gambar hiasan
ALOR GAJAH: Jabatan Mufti Melaka akan membenarkan sunat Aidilfitri pada tahun ini dilaksanakan di surau dan padang terbuka selepas permohonan yang dibuat mendapat kelulusan daripada beberapa jabatan berkaitan.
Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berkata ini berikutan terdapat permintaan daripada penduduk kampung yang mahukan tempat tambahan bagi melaksanakan ibadah itu kerana masjid sedia ada tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai.
"Mana-mana surau yang ingin melaksanakan solat sunat Aidilfitri boleh kemukakan permohonan kepada pejabat agama daerah dan kemudian dapatkan ulasan mereka sebelum (permohonan) dihantar ke Bahagian Pengurusan Masjid dan Jabatan Mufti untuk kita pertimbangkan.
"Khutbah akan disediakan oleh Jabatan Mufti manakala khatib akan disediakan oleh penduduk kampung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Berlaga Centong Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Gotong-Royong Bubur Lambuk Perdana peringkat Melaka di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu di sini hari ini.
Majlis yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu turut dihadiri Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat.
Sebanyak 14 periuk bubur lambuk dan 13 kawah dodol dimasak secara bergotong-royong oleh kira-kira 400 penduduk dan diagihkan kepada masyarakat di kampung sekitar.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #solat sunat #padang terbuka #Melaka
;