Melaka akan perkenal garis panduan, SOP atasi masalah kekurangan beras tempatan

Bernama
September 12, 2023 17:11 MYT
Kerajaan negeri Melaka akan memperkenalkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal selia kemasukan dan keluaran bekalan beras tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan makanan ruji itu. - Gambar hiasan/BERNAMA
JASIN: Kerajaan negeri Melaka akan memperkenalkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal selia kemasukan dan keluaran bekalan beras tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan makanan ruji itu.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata perkara itu akan diperincikan menerusi satu jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan bersama beberapa agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kawalselia Padi dan Beras (KPB).
"Ia bagi menyelaraskan semua data bekalan beras tempatan yang akan ke Melaka dan di mana ia diedarkan.
"Dengan data yang diselaraskan oleh dua agensi utama ini juga membolehkan kita mengesan jika berlaku sebarang ketirisan bekalan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan pemeriksaan bekalan beras dalam Op Jamin di sebuah pasar raya di sini yang turut disertai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.
Dr Muhamad Akmal berkata sebagai contoh, jika sebuah pasar raya mendapat bekalan 100 kampit beras dan timbul aduan kekurangan beras daripada pengguna, KPDN boleh membuat siasatan terperinci dengan melihat rekod jualan seterusnya dan mengambil tindakan jika berlaku ketirisan.
Beliau berkata bermula 15 Sept ini terdapat tiga pengilang akan membuat pembungkusan semula beras tempatan di Melaka dan ia dilihat dapat menangani masalah ketidakcukupan bekalan di negeri itu.
Sementara itu, Allex berkata sehingga 11 Sept, sebanyak tiga siri pemeriksaan dilaksanakan menerusi Op Jamin di seluruh Melaka, hasil kolaborasi bersepadu KPDN Melaka dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melibatkan pemeriksaan di peringkat pemborong dan peruncit.
"Sebanyak 127 premis diperiksa bagi memastikan bekalan beras putih tempatan dan import sentiasa mencukupi dan terkawal harganya.
"Di samping itu, ia juga bertujuan mengelakkan mana-mana pihak membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.
-- BERNAMA
#Melaka #garis panduan #SOP #masalah kekurangan beras tempatan
;