MEKAR: JPN terima lebih 80,000 permohonan sejak 2019

Bernama
Mac 11, 2023 17:02 MYT
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 80,389 permohonan berkaitan urusan kad pengenalan serta pendaftaran kelahiran dan kematian menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) sejak 2019. - Gambar hiasan/BERNAMA
PELABUHAN KLANG: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 80,389 permohonan berkaitan urusan kad pengenalan serta pendaftaran kelahiran dan kematian menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) sejak 2019.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN Saiful Yazan Alwi berkata inisiatif itu bagi memberi kemudahan kepada golongan yang sukar hadir ke cawangan JPN seperti Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.
"Isu ketiadaan dokumen pengenalan diri sering berlaku di kawasan yang jauh (terpencil) kerana sukar untuk mendaftar (pergi ke JPN), ada masalah bahasa dan akses kepada kemudahan dan kurang pengetahuan.
"Bila tiba sampai masa (mereka) menerima bantuan kerajaan dan perlukan kad pengenalan tetapi mereka tidak miliki dokumen tersebut, baru rasa ada kepentingan. Jadi kita akan bantu dari segi itu," katanya kepada pemberita selepas Program MEKAR Ihsan bersama penduduk Pulau Ketam di sini hari ini.
Beliau berkata sejak Januari hingga Februari tahun ini JPN telah menerima sebanyak 3,172 permohonan berkaitan kad pengenalan serta pendaftaran kelahiran dan kematian.
Saiful Yazan turut mengalu-alukan ketua kampung atau komuniti tempatan yang mempunyai kesukaran bagi mengemas kini dokumen pengenalan diri supaya memaklumkan kepada JPN bagi menjalankan program MEKAR di kawasan mereka.
Sementara itu, seorang warga emas, Tan Hou Thong, 65, berkata beliau lega kerana masalah kad pengenalan dan sijil kelahiran rosak yang berlarutan sejak beberapa tahun lepas akhirnya berjaya diselesaikan hari ini.
"Saya diserang strok sejak tiga tahun lepas, saya tidak boleh pergi ke JPN (cawangan terdekat) untuk memperbaharui dokumen pengenalan.
"Hari ini, saya juga tidak dapat ke majlis penyerahan kad ini kerana belum boleh berjalan dengan sempurna, nasib baik mereka (JPN) sanggup hantar ke rumah saya," katanya.
MEKAR adalah program turun padang JPN untuk urusan permohonan dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan sijil kelahiran diberi kepada golongan yang layak tetapi sukar untuk hadir ke JPN seperti OKU, warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal jauh di pedalaman.
la merupakan pendekatan proaktif JPN dalam memastikan setiap penduduk di Malaysia yang berkelayakan memohon dan mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Maklumat lanjut berkenaan program MEKAR JPN, boleh menghubungi talian telefon 03-88808014/ 03-88807077 atau melalui emel mekar@jpn.gov.my.
-- BERNAMA
#Jabatan Pendaftaran Negara #MEKAR JPN #permohonan kad pengenalan #Saiful Yazan Alwi
;