Mekanisme pembayaran suri rumah perlu dikenal pasti - Nancy
Bernama
Ogos 15, 2023 13:05 MYT
Ogos 15, 2023 13:05 MYT
KUALA LUMPUR: Satu mekanisme pembayaran kepada suri rumah perlu dikenal pasti bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam menguruskan rumah tangga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Mengklasifikasikan suri rumah sebagai 'pekerja tidak bergaji', beliau berkata ini kerana masih ramai suri rumah yang tidak diberi wang oleh suami mereka, selain mekanisme itu antara kaedah untuk memperkasa ekonomi golongan wanita.
"Kita mahu kerajaan mungkin melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau bagaimana caranya mencari mekanisme untuk 'unpaid labour' (pekerja tidak bergaji) ini dibayar.
"Bukannya kerana buat kerja rumah ini hendak berkira tetapi masih ada golongan suami yang tidak memberi duit kepada isteri mereka." katanya ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM, hari ini.
Bagi meningkatkan keterlibatan wanita dalam sektor pekerjaan pula, Nancy berkata majikan memainkan peranan penting dengan memberi galakan kepada golongan berkenaan untuk bekerja di organisasi mereka.
"Sesuatu organisasi itu memerlukan wanita (sebagai pekerja) ... untuk memastikan organisasi itu berjalan dengan baik dan lancar kerana kebanyakan wanita lebih setia kepada organisasi.
"Apabila lebih ramai wanita, lebih ramai yang setia (dalam sesebuah organisasi), maka ini boleh memberi peluang kepada majikan untuk merancang dengan lanjut dan membantu ekonomi mereka secara lebih teratur, lebih mudah," katanya.
-- BERNAMA