Mekanisme khas perlu bagi pastikan warga asing bayar bil perubatan
Bernama
April 18, 2017 07:00 MYT
April 18, 2017 07:00 MYT
Kementerian Kesihatan dicadang mewujudkan mekanisme khas bagi memastikan warga asing yang mendapatkan rawatan membayar bil perubatan yang dikenakan.
Ia disuarakan Senator Siti Aishah Shaik Ismail ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di persidangan Dewan Negara pada Selasa.
Katanya, kementerian tidak harus berkompromi dengan warga asing yang culas membayar kos perubatan susulan laporan yang menyatakan tunggakan bil rawatan warga asing yang mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan mencecah RM50.5 juta dari 2012 hingga tahun lalu.
"Kalau nilai RM20,000 ke RM30,000 sahaja saya masih boleh terima tetapi kos ini telah mencecah RM50 juta.
"Kalau (ia melibatkan) rakyat Malaysia sampai dikejar jika tidak membayar kos perubatan dan tiada kompromi, namun jika ia melibatkan warga asing boleh pula terlepas," katanya.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dilaporkan berkata Ahad lepas bahawa usaha sedang dibuat untuk menjejak warga asing yang belum menjelaskan tunggakan itu.
Media sebelum itu melaporkan warga asing dari 38 negara 'berhutang' dengan Hospital Kuala Lumpur sebanyak RM7.87 juta dalam bentuk bil perubatan sejak beberapa tahun.
Pada tahun lepas sahaja, hospital awam terbesar dalam negara itu mencatatkan RM3 juta tunggakan bil susulan kegagalan golongan itu melunaskannya.
Persidangan Dewan Negara bersambung pada Rabu.
-- BERNAMA
#bil perubatan
#Dewan Negara
#Hilmi Yahya
#mekanisme khas
#Siti Aishah Shaik Ismail
#tunggakan
#warga asing