Mekanisme baharu diperlukan untuk lawan cetak rompak - Mahadi J Murat

Irwan Muhammad Zain
Februari 26, 2021 16:46 MYT
Profesor Mahadi J Murat berpendapat, selain penguatkuasaan yang longgar, teknologi digital juga memudahkan aktiviti cetak rompak. - Gambar Facebook Mahadi J Murat
KUALA LUMPUR: Satu mekanisme baharu diperlukan untuk melawan kegiatan cetak rompak yang masih berleluasa hingga ke hari ini.
Menurut sarjana dan pengarah filem tersohor, Profesor Mahadi J Murat, antara kaedah yang boleh digunakan ialah menjual hasil karya dengan harga yang rendah.
Menurut beliau, dengan jualan harga murah, barangkali menjadi salah satu cara untuk bersaing dengan barangan cetak rompak.
Dr Mahadi menjelaskan, kaedah berkenaan boleh dilaksanakan selepas selesai setiap karya seperti filem diedar atau memasuki panggung.
"Dahulu ada tuduhan bahawa pengedar panggung wayang merupakan pihak yang bertanggungjawab membuat salinan cetak rompak.
"Saya mencadangkan supaya kita sebagai pengeluar, kita mengedarkan karya secara formal mengikut kaedah pengedaran karya secara biasa.
"Tetapi pada masa sama setelah kita habis pusingan kita mengedar karya atau filem kita, kita boleh menjual produk kita dengan harga yang murah, dengan harga yang sama dengan harga yang ditawarkan oleh pihak yang menjadi 'lanun'," katanya kepada Astro AWANI.
Mnegulas lanjut, Dr Mahadi berpendapat, selain penguatkuasaan yang longgar, teknologi digital juga memudahkan aktiviti cetak rompak.
Justeru beliau mencadangkan agar satu mekanisma baharu diwujudkan bagi mengatasi kegiatan cetak rompak secara digital.
"Untuk menghadapi keadaan ini kita perlu mewujudkan satu mekanisme yang seimbang di antara para pengkarya dan pemilik karya.
"Selain itu, situasi itu perlu diwujudkan antara pengkarya dan pelanggan yang menjadi pelanggan kepada produk yang dihasilkan oleh seseorang karyawawan, penulis atau pencetus sesuatu karya kreatif," katanya lagi.
Baru-baru ini, seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah memiliki enam kotak media yang mempunyai perisian tidak sah mengikut Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.
#StopPiracyLah #NoToLanun #Cetak rompak #mahadi j murat #hapus lanun
;