Mekanik rugi RM200,000 diugut sebar video lucah oleh wanita bernama 'Yaya'

Abd Razak Mohd Ali
Julai 4, 2023 14:53 MYT
Setelah menerima panggilan tersebut, mangsa melihat suspek berada dalam keadaan berbogel dan turut terikut melakukan aksi ghairah. - Gambar hiasan
IPOH: Seorang mekanik kerugian RM200,000 selepas diugut oleh seorang wanita kenalan media sosialnya, untuk menyebarkan video rakaman aksi lucah.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun, kira-kira jam 1.49 tengah hari semalam.
Menurutnya, hasil soal siasat yang dilakukan, didapati mangsa mengenali suspek melalui Facebook dengan menggunakan nama ‘Yaya’.
“Suspek kemudiannya meminta mangsa untuk menerima panggilan video dengan alasan ingin menunjukkan sesuatu yang istimewa.
“Setelah menerima panggilan tersebut, mangsa melihat suspek berada dalam keadaan berbogel dan melakukan aksi ghairah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Yusri berkata, mangsa yang terpengaruh dengan aksi tersebut turut sama berbogel dan melakukan perkara tidak senonoh bersama suspek.
Menurutnya, mangsa tidak menyedari bahawa aksinya telah dirakam oleh suspek.
Katanya, mangsa hanya menyedari perkara itu setelah suspek menghantar rakaman tersebut sejurus menamatkan panggilan.
“Mangsa diugut supaya memberikan wang kepada suspek dan mangsa kemudiannya telah melakukan pemindahan wang sebanyak 38 kali secara perbankan atas talian ke lima akaun pemilik yang berbeza,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Mohd Yusri menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan individu yang baru dikenali melalui media sosial sehingga boleh dipengaruhi untuk melakukan perkara di luar dugaan, seterusnya menjadi mangsa pemerasan.
#lelaki diugut #video lucah #polis perak #pemerasan
;