Mekanik rentung kereta terbakar
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
November 20, 2021 04:55 MYT
November 20, 2021 04:55 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang mekanik rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar dalam kejadian di Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 malam itu, Mohd Azizi Jaafar, 37 tahun, yang melecur lebih 90 peratus, maut di tempat kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, api marak sedang membakar kereta Perodua Alza yang dipandu mangsa.
Katanya, mangsa cuba menyelamatkan diri menerusi tingkap kereta namun gagal.
Hasil pemeriksaan pihaknya menemui tiga silinder gas untuk kerja kimpalan dan satu tabung gas oksigen di dalam kenderaan berkenaan.
"Mungkin ada sumber-sumber kebakaran yang lain, bukan sekadar gas itu saja, tetapi siasatan masih di peringkat awal dan kita cuma dapat nyatakan, kebakaran berpunca daripada sumber-sumber yang ada dalam kereta itu," katanya.
Menurut Md Hilman, insiden itu juga menyebabkan sebuah Perodua Viva yang diparkir di tepi jalan hangus kira-kira 60 peratus.
Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal kebakaran.
Md Hilman berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut.