Mekanik meninggal dunia ketika rawatan, motosikal bertembung 4WD

Norfarhiza Mohd Atar
Januari 14, 2023 05:30 MYT
Motosikal mangsa remuk dan terbakar setelah dilanggar kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 5, Jalan Lipis - Merapoh, dekat Tempoyang, Lipis, pada Sabtu. - Foto ihsan Balai Bomba Kuala Lipis
LIPIS: Seorang mekanik meninggal dunia setelah motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5, Jalan Lipis - Merapoh dekat Tempoyang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa, Azman Zakaria, 43 tahun, yang beralamat di Kampung Berhamah, Merapoh, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan 4WD jenis Mitsubishi Triton yang dipandu oleh seorang guru berusia 49 tahun, datang dari arah Tanah Merah Kelantan menuju ke Kuala lumpur.
"Setiba di tempat kejadian, pacuan empat roda berkenaan dipercayai telah pecah tayar belakang kanan dan tayar depan kiri menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan dan masuk ke jalan bertentangan lalu melanggar motosikal jenis BMW R1200 RT yang ditunggangi mangsa.
"Pelanggaran tersebut berlaku di bahagian hadapan sebelah kiri kereta pacuan empat roda itu yang kemudiannya berpusing. Motosikal mangsa telah terbabas ke kanan jalan menyebabkan dia melambung dan jatuh ke bahu jalan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Lipis untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari.
Jelasnya, pemandu 4WD terbabit pula hanya mengalami kecederaan ringan.
"Bedah siasat akan dilakukan selepas hasil ujian swab COVID-19 diperoleh untuk mengetahui punca kematian mangsa.
"Kes kemalangan ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Azli berkata, motosikal mangsa remuk di bahagian hadapan dan terbakar, manakala Mitsubishi Triton berkenaan pecah di bahagian bumper dan bonet, fender hadapan kiri kemek dan lampu depan kiri pecah.
Ujarnya, siasatan di tempat kejadian mendapati jalan selekoh, satu lorong dua hala, terdapat garisan putih berkembar dan permukaan jalan basah selepas hujan.
#motosikal bertembung 4WD #mekanik meninggal dunia #Jalan Lipis - Merapoh #kemalangan jalan raya
;