Mekanik mengamuk di plaza tol positif dadah, ada 17 rekod jenayah
Umavathi Ramayah
November 5, 2024 09:50 MYT
November 5, 2024 09:50 MYT
KAJANG: Hanya kerana ditegur mengetuk tempat kad Touch n Go dengan kuat, seorang lelaki menghambur kata-kata kesat terhadap jurutol serta menendang dinding kaunter tol di plaza tol berhampiran Jalan Batu 9 di sini, pada Isnin.
Perbuatan itu mengundang padah apabila tindakannya itu dirakam dan dimuat naik seorang warganet di akaun Facebook.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, pihaknya mengesan satu video tular kejadian pertengkaran antara pengguna jalan raya dan jurutol di sebuah plaza tol berhampiran Jalan Batu 9 Cheras, di sini.
“Dalam video itu, seorang lelaki dilihat keluar turun dari kenderaan dan menuju ke kaunter tol sambil memarahi jurutol.
“Suspek turut bertindak menendang dinding kaunter tol tersebut dan kemudiannya beredar dari lokasi kejadian.
“Berdasarkan siasatan, punca kejadian kerana suspek ditegur mengetuk tempat kad 'Touch n Go' dengan kuat semasa menggunakan perkhidmatan itu.
“Berang kerana ditegur, suspek mengamuk dan memarahi mangsa dengan bahasa kesat serta menendang dinding kaunter tol,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, Naazron menambah, bertindak atas maklumat tersebut, polis menahan seorang mekanik berusia 31 tahun bersama sebuah kenderaan jenis Perodua Alza di sebuah taman perumahan di kawasan Hulu Langat, di sini kira-kira pukul 7 malam Isnin.
Naazron berkata, pemeriksaan ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain turut mempunyai 17 rekod jenayah lampau.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu katanya, lelaki itu turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum sehingga RM100 dan siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Permohonan reman ke atas suspek yang bekerja sebagai mekanik akan dilakukan pada hari ini (Selasa),” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan.