Mekanik maut dihempap kereta sedang dibaiki

Dewi Nur Harasha Alias
November 21, 2021 11:01 MYT
Anggota bomba sedang menjalankan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang dihempap kereta. -JBPM
BAYAN LEPAS: Seorang mekanik meninggal dunia selepas dihempap kereta yang sedang dibaikinya di sebuah bengkel di Kampung Bukit, di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Sabtu malam.
Mangsa berusia 31 tahun itu ditemukan dalam keadaan tersepit di bawah kereta jenis Proton Saga kira-kira jam 11.45 malam.
Menurut Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Pegawai Kanan Bomba II Helmirizal Che Morad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 malam.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati seorang lelaki tidak bergerak dengan keadaan sebuah kereta menghempapnya.
"Mangsa dikatakan telah dihempap kereta yang jatuh semasa sedang melakukan kerja-kerja membaiki.
"Usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dalam tempoh kurang lima minit dengan menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Helmirizal berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 1.05 pagi.
#Balai Bomba dan Penyelamat #mekanik maut dihempap kereta #Kampung Bayan Lepas #Helmirizal Che Morad
;