Mekanik maut digilis lori tanah

Sinar Harian
Julai 28, 2018 18:50 MYT
Mangsa, T Loganathan, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC seorang diri itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Selangor.
Seorang mekanik maut selepas digilis sebuah lori muatan tanah dalam satu kejadian kemalangan di KM25 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur berhampiran kuil Ladang Tuan Mee, Ijok kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Mangsa, T Loganathan, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC seorang diri itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Md Asri A Wahab menjelaskan, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.
"Ketika itu, sebuah lori dari arah Kuala Selangor tidak sempat mengelak mangsa dan berlaku pelanggaran secara berdepan menyebabkan kecederaan parah.
"Mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya yang turut menerima bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya yang membantu mengeluarkan mangsa di bawah lori.
BACA: Pelajar maut digilis lori ais
BACA: Kanak-kanak enam tahun hancur kaki digilis 'forklift'
BACA: Kaki kanak-kanak 8 tahun hancur digilis lori pasir
Menurutnya, pemandu lori yang berusia 29 tahun itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
"Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan disiasat Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Selangor, Inspektor Che Mohd Shah Che Hussin.
"Pihak polis turut meminta orang ramai atau saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau terus ke IPD Kuala Selangor bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, Ketua BBP Bestari Jaya, Penolong Penguasa Bomba Sahidallah Osman berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung kejadian kemalangan itu pada jam 9.16 pagi.
"Aset jentera BBP Bestari Jaya dengan kekuatan enam pegawai termasuk Komander Operasi BBP Bestari Jaya, Pegawai Bomba Kamarul Anuar Isnawan dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Pihak kami bertindak membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori menggunakan peralatan khas dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
#bomba #Hospital #Ijok #kemalangan #Kuala Lumpur #Kuala Selangor #mangsa #maut #mekanik maut #meninggal dunia #operasi #polis
;