Mekanik jatuh ski jet ditemukan lemas

Bernama
Ogos 10, 2024 07:17 MYT
Abdullah ditemukan lemas pada pagi Sabtu selepas dikatakan terjatuh di Sungai Terengganu ketika menguji jet ski yang dipandu. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Seorang mekanik yang dilaporkan hilang ketika menunggang ski jet di Sungai Terengganu berhampiran Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata Abdullah A. Mubin, 44, ditemukan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat pada 9.28 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi ski jet itu terbalik.
"Mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian berlaku. Pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.25 pagi semalam.
"Setibanya di lokasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memulakan operasi pencarian terlebih dahulu sebelum bantuan daripada Polis Marin digerakkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata berdasarkan maklumat saksi kejadian, mangsa cuba berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri sebelum tenggelam.
Operasi pencarian yang melibatkan 87 pegawai dan anggota pelbagai agensi penyelamat termasuk orang awam selain dibantu dua anjing pengesan (K9) milik Polis Diraja Malaysia ditamatkan pada 10 pagi tadi.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Semalam, dilaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh selepas ski jet yang ditunggangnya hilang kawalan ketika menguji jentera terbabit.
-- BERNAMA
#mekanik jatuh ski jet #Sungai Terengganu #Abdullah A Mubin #ditemukan lemas