Mekanik dituduh bunuh Noor Amila Edrus Norsyam
Astro Awani
Ogos 24, 2016 16:11 MYT
Ogos 24, 2016 16:11 MYT
Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki, Noor Amila Edrus Norsyam, yang mayatnya ditemukan di kawasan semak Kampung Kemensah, Hulu Kelang, Khamis lepas.
Norhamid Nor Muhamad, 26, menghadapi hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Zuhair Rosli kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Norhamid didakwa membunuh Noor Amila Edrus, 5, di dalam sebuah bengkel kereta tidak bernombor di Blok C, Lorong 5/16C, Kawasan Perumahan Awam, Jinjang Utara, Sentul, di sini pada 5.30 pagi, 12 Ogos lepas.
Mahkamah menetapkan 25 Oktober untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Muhamad Sapri Yaakub manakala tertuduh yang merupakan abang ipar tiri kepada mangsa tidak diwakili peguam.
Noor Amila Edrus dilaporkan hilang di Jinjang Utara pada 11 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemukan di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang pada 12.30 tengah hari 18 Ogos lepas.
Semasa kanak-kanak lelaki itu dilaporkan hilang, kes itu mulanya disiasat sebagai kes orang hilang sebelum bertukar menjadi kes culik mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan selepas suspek ditahan.
Namun setelah mayat mangsa ditemui, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan membunuh.