Mekanik ditahan gara-gara hobi suka kumpul senjata tiruan
Bernama
April 18, 2020 00:46 MYT
April 18, 2020 00:46 MYT
Hobi seorang mekanik menyimpan senjata tiruan memakan diri apabila ditahan polis di sebuah bengkel di Jalan Besar, Pantai Remis dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata lelaki berumur 35 tahun itu ditahan di hadapan bengkel milik ayahnya kira-kira 11 malam.
Nor Omar berkata pemeriksaan ke atas kereta lelaki itu menemukan selaras senapang angin jenis Raifal HK416D (caliber 5.56mm x 45) dan dua pucuk pistol angin jenama Pietro Beretta Gardone V.T serta Combat Master yang semuanya tiruan di bahagian tempat duduk belakang.
Katanya selain kereta milik lelaki itu, polis turut merampas satu botol berisi 1,110 butir 'ball bearing' dan satu tabung gas.
"Suspek mengaku membeli senjata itu menerusi internet pada 2017 dengan senapang angin berharga RM2,500 manakala dua pucuk pistol angin berharga RM3,500. Suspek menggunakannya untuk mengisi masa termasuk menembak tin di belakang bengkel," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini pada Sabtu.
Nor Omar berkata polis sedang menjalankan siasatan terperinci sama ada lelaki itu terlibat dengan jenayah samun atau sebagainya.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan selain Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan berada di luar rumah pada lewat malam.
-- BERNAMA