Mekanik direman rogol remaja sehingga mengandung
Adie Sufian Zulkefli
Julai 22, 2020 17:04 MYT
Julai 22, 2020 17:04 MYT
Seorang mekanik direman tujuh hari bermula pada Rabu selepas ditahan kerana disyaki merogol pelajar perempuan berusia 17 tahun sehingga mengandung di Padang Katong, di sini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata suspek berusia 20 tahun itu ditahan malam tadi di sekitar Kangar.
Katanya, remaja itu yang mengandung lapan bulan mendakwa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum dibawa ke kawasan hutan dan dirogol.
"Dia memberitahu dirogol beberapa kali di lokasi lain antara November hingga Januari lalu dan lokasi terakhir perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah kosong berhampiran kediaman suspek.
"Ibu bapa remaja itu hanya mengetahui perkara itu selepas guru sekolah hadir ke rumahnya pagi Selasa (semalam) bagi memaklumkan keadaan sebenar remaja itu yang sudah mengandung," katanya di sini, pada Rabu.
Katanya, ibu bapa remaja itu membuat laporan polis tengah hari semalam.
Wari berkata, pihaknya sudah merakamkan keterangan remaja berkenaan yang kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di sini.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
#bawah umur
#guru
#Hospital
#mahkamah
#mekanik
#pelajar
#polis
#remaja
#rogol
#rogol remaja
#rumah
#sekolah
#suspek
#WhatsApp