Mekanik direman bantu siasatan kes remaja hilang

Afiezul Samit
Jun 24, 2021 14:04 MYT
Suspek berusia 20 tahun direman di Balai Polis Siburan sehingga 1 Julai depan. - Foto PDRM
KUCHING: Seorang mekanik direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan yang hilang pada 15 Jun lalu bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan ketika dihubungi berkata suspek berusia 20 tahun direman di Balai Polis Siburan sehingga 1 Julai depan.
“Permohonan reman telah dikemukakan pegawai penyiasat kepada Mahkamah Kuching yang diadakan secara maya pada jam 9 pagi tadi.
“Mahkamah membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 1 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut Aidil, perintah reman itu dimohon mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek.
Terdahulu suspek ditahan di sebuah kontena yang dijadikan tempat tinggal di Jalan Sudat dekat Batu Kawa di sini selepas dipercayai terlibat dengan kes remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan sejak 15 Jun lalu.
Pelajar tingkatan dua itu dilapor tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sekitar jam 5 petang sejak keluar pergi ke sekolahnya untuk mengambil bahan rujukan.
Selepas sembilan hari kehilangannya, remaja berkenaan berjaya ditemukan di sebuah pasar raya di Jalan Sultan Tengah, Kuching pada 3 petang sebelum dimaklumkan kepada pihak polis untuk pengesahan.
#Kuching #reman #culik #Padawan #pelajar #pelajar hilang #mekanik direman #Aidil Bolhassan
;