Mekanik didenda RM15,000 gagal jaga keperluan anjing miliknya

Bernama
Februari 29, 2024 15:48 MYT
Yee Chan Fai didenda RM15,000 kerana gagal menjaga keperluan haiwan peliharaannya sehingga anjing itu cedera di bahagian ekor akibat dipukul jiran. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang mekanik didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini, kerana gagal menjaga keperluan haiwan peliharaannya sehingga anjing itu cedera di bahagian ekor akibat dipukul jiran.
Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu terhadap Yee Chan Fai, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan keperluan haiwan itu dipenuhi sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah rumah di Taman Saga di sini pada 9 pagi, 24 Mei 2022.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan tidak lebih RM75,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mohd Norisham berkata OKS seharusnya mengawal dan mengikat anjingnya di dalam pagar rumah agar tidak mencederakan orang awam.
"Haiwan ini tidak boleh bercakap, kamu seharusnya tidak menganiaya dan mengabaikannya. Anjing itu milik kamu, kamu biar pagar terbuka sehingga haiwan ini mengejar dan mencederakan orang lain.
"Dalam kes ini, pengadu yang juga mangsa turut cedera dan alami kerugian kerana perlu bayar denda. Anjing kamu pun dicederakan kerana sifat cuai kamu," kata hakim itu.
Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap OKS mengambil kira faktor keselamatan orang awam dan sebagai pengajaran kepada pemilik anjing yang lain.
"Pengadu sebelum ini telah didenda RM23,000 kerana memukul anjing itu, tidak termasuk kos guaman dan kos perubatan yang perlu ditanggungnya. Mohon mahkamah turut mengambil kira faktor ini," katanya.
Peguam Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili OKS memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa, kakaknya serta dua anak berusia enam dan lapan tahun.
"OKS tidak pernah disabitkan atas sebarang kesalahan sebelum ini dan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA
#mekanik didenda #gagal menjaga keperluan anjing #anjing dipukul jiran #ikat anjing di pagar #Yee Chan Fai
;