Mekanik didakwa edar dan memiliki dadah

Astro Awani
Februari 16, 2015 21:23 MYT
Mahkamah menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. - Astro AWANI
Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan mengedar dan memiliki dadah.
Tertuduh Syamsul Hafiz Iskandar Salleh, 21, sekadar mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.
Tertuduh dipercayai mengedar dadah berbahaya jenis 'methapetamine' seberat 157.64 gram kira-kira pukul 10.30 malam pada 8 Februari lalu di Kampung Pasir Panjang Kuala Terengganu.
Syamsul, yang juga dipercayai ketua ‘Geng Pasir Panjang’, didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39b (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39b (2) akta yang sama.
Dia boleh dikenakan hukuman gantung secara mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Bagaimanapun mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
#Dadah #Edar #Mahkamah Mejistret #mekanik #Syamsul Hafiz Iskandar Salleh
;