Mekanik dan dua rakan mengaku bersalah rogol gadis bawah umur
Muhafandi Muhamad
Oktober 30, 2018 16:02 MYT
Oktober 30, 2018 16:02 MYT
Akibat merogol seorang gadis bawah umur pada Mac tahun lalu, seorang mekanik dipenjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini.
Manakala dua rakan subahatnya yang berusia bawah umur ditahan di Sekolah Henry Gurney, Melaka sehingga mencapai umur 21 tahun.
Tertuduh, Ulwais Mohd Shafeei, 20, dan dua rakan masing-masing berusia 19 dan 18 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli bahruddin.
Mengikut pertuduhan, Ulwais didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun sebulan ketika kejadian dalam bilik sebuah rumah di Wakaf Stan, Kota Bharu, jam 4 pagi, pada 3 November 2017.
Dua tertuduh bawah umur itu didakwa mengikut pertuduhan pindaan merogol mangsa sama dan di lokasi yang sama masing-masing antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Terdahulu, peguam bela, Saharuddin Mohamed yang mewakili Ulwais dan peguam Shamsul Bahrain Abdullah serta Idi Amin mewakili tertuduh bawah umur.
Ketiga-tiga peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada tertuduh memandangkan mereka adalah pesalah muda ketika kejadian mengikut Seksyen 293(1)(e) yang membawa hukuman khidmat masyarakat yang tidak melebihi 160 jam.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius untuk memberi pengajaran serta mencegah masyarakat melakukan kesalahan yang sama.
Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 3 November 2017.