'Meja terbang ke siling' - Saksi cerita detik ngeri letupan CityONE Megamall

Astro Awani
Disember 4, 2018 18:26 MYT
Letupan kuat dan runtuhan susulan yang berlaku di CityONE Megamall mengejutkan pengunjung yang berada di pusat beli belah ketika itu. -Gambar ihsan pembaca
Letupan kuat dan runtuhan susulan yang berlaku di CityONE Megamall mengejutkan pengunjung yang berada di pusat beli belah ketika itu.
Bernama melaporkan beberapa saksi kejadian ketika kejadian itu berlaku pada jam 3.30 petang Selasa.
George Sting, 39, berkata letupan itu berlaku di dalam sebuah kedai yang sedang diubah suai.
“Ketika kejadian saya sedang membeli piza di hadapan kedai itu, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku.
“Pekerja yang berada di dalam kedai tersebut lari bertempiaran keluar premis berkenaaan, ada di antara mereka yang cedera teruk seperti melecur,” kata George.
Grace Lee, 23, pembantu jurujual di sebuah syarikat telekomunikasi di tempat kejadian berkata semasa kejadian dia sedang melayan pelanggan, tiba-tiba terdengar letupan dari sebuah kedai yang sedang disiapkan.
"Pihak pengurusan shopping mall terus membuat pengumuman kecemasan agar semua pengunjung keluar dari pusat beli belah itu,” katanya.
Wina Simion, 46, berkata dia ketika itu sedang menikmati piza di sebuah restoran bersama keluarga di hadapan kedai berkenaan, tiba-tiba berlaku letupan daripada kedai di hadapan menyebabkan meja terbang ke siling premis berkenaan.
Pengarah Operasi Bomba dan dan Penyelamat, Tiong Ling Hii ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut namun jumlah mangsa yang cedera parah belum dapat dipastikan.
#bomba #CityONE Megamall #letupan #Letupan kuat #operasi #pembantu jurujual #pengunjung #pusat beli belah #Tiong Ling Hii
;