MEF sokong pemegang Kad UNHCR Rohingya dibenar bekerja

Bernama
Februari 3, 2017 19:59 MYT
SHAMSUDDIN: MEF menyokong keputusan kerajaan untuk memberi kebenaran bekerja kepada 300 pemegang kad UNHCR etnik Rohingya. - Gambar fail
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyokong keputusan kerajaan untuk memberi kebenaran bekerja kepada 300 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) etnik Rohingya.
Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata langkah itu dilihat dapat memenuhi keperluan bidang pekerjaan tertentu di negara ini kerana bidang pekerjaan seperti sektor buruh, pertanian dan perladangan kurang diminati warga tempatan.
"Keputusan itu tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada warga tempatan, ini kerana mereka cuma akan bekerja di bidang tertentu terutama pekerjaan 3D iaitu 'Dirty, Difficult and Dangerous' (Kotor, sukar dan berbahaya).
"Banyak jawatan bagi tugasan tersebut diisi oleh warga asing dan sekarang ini pun kita ada masalah kekurangan pekerja asing, jadi secara tak langsung pengambilan pelarian dapat membantu mengisi jurang dalam pasaran buruh di sektor tersebut," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
BACA: Projek Benarkan Pemegang Kad UNHCR Rohingya Bekerja Bermula 1 Mac
BACA: Pelarian Rohingya akan dijadikan aset - TPM
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Projek Perintis Kebenaran Bekerja untuk Pemegang Kad UNHCR etnik Rohingya yang akan bermula pada 1 Mac ini.
Projek perintis itu membolehkan seramai 300 pemegang kad UNHCR etnik Rohingya yang melepasi tapisan keselamatan dan saringan kesihatan untuk bekerja secara berperingkat.
Ahmad Zahid berkata sehingga 31 Dis tahun lepas (2016), terdapat seramai 149,474 pemegang kad UNHCR dari 62 negara direkodkan di Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai keputusan itu, Shamsuddin berkata keputusan tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan isu etnik Rohingya yang sudah lama menetap di negara ini namun bekerja secara tidak sah.
Katanya sebelum ini mereka terpaksa bekerja secara haram untuk mendapatkan rezeki dan ini telah mendorong mereka untuk terlibat dalam aktiviti haram dan tidak diingini.
"Di samping membantu mereka, kita juga dapat mengurangkan kebergantungan dan pembawaan pekerja asing ke dalam negara," katanya.
Sementara itu, Nurainie Haziqah Shafi'i, pengasas dan penggiat utama MyWelfare, sebuah badan bukan kerajaan yang membela nasib pelarian Rohingya di Selayang berkata keputusan itu baik namun kerajaan juga haruslah memberikan keutamaan dalam aspek-aspek kebajikan pelarian etnik Rohingya.
"Ini satu permulaan yang baik kerana Malaysia kini sudah menjadi kediaman tetap mereka, mungkin kita juga boleh meluaskan bantuan ini kepada aspek lain seperti dari segi perubatan dan pendidikan untuk anak-anak mereka," katanya.
-- BERNAMA
#MyWelfare #Projek Perintis Kebenaran Bekerja #Rohingya #UNHCR
;