MEF sambut baik keputusan kerajaan tangguh syarat nisbah 80:20 bagi syarikat pembuatan

Fareez Azman
Julai 16, 2022 17:00 MYT
MEF berharap keputusan ini dapat mengurangkan isu kekurangan tenaga buruh, terutama bagi sektor pembuatan dan membantu majikan untuk kembali bangkit. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik keputusan kerajaan dalam menangguhkan dua tahun pelaksanaan syarat untuk syarikat pembuatan mempunyai sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja tempatan sebelum dibenarkan mengambil pekerja asing.
Menurut Presidennya, Datuk Syed Hussain Syed Husman, keputusan Kementerian Sumber Manusia itu diharapkan dapat mengurangkan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor ekonomi.
"Dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), MEF mengutarakan isu ini yang menjadi keluhan majikan apabila syarat nisbah 80:20 bagi buruh asing disyaratkan.
"MEF menyambut baik keputusan pantas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang juga kementerian bertanggungjawab dalam pemohonanan serta pengambilan tenaga buruh asing.
"MEF berharap keputusan ini dapat mengurangkan isu kekurangan tenaga buruh, terutama bagi sektor pembuatan dan membantu majikan untuk kembali bangkit," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Ujarnya, kekurangan tenaga buruh ketika ini melibatkan semua sektor ekonomi dan memberi kesan terutamanya sektor swasta untuk kembali memulihkan perniagaan mereka.
Meskipun begitu, majikan jelasnya, masih berdepan masalah untuk menarik minat pekerja tempatan untuk memenuhi jawatan yang disediakan.
Tambah Syed Hussain, kira-kira 3.9 peratus melibatkan 699,000 tenaga kerja tempatan masih lagi tidak bekerja ketika ini.
Pada masa sama tambahnya, MEF turut berharap agar kekeliruan dan salah faham yang berlaku antara Indonesia dan Bangladesh mengenai bekalan sumber tenaga kerja asing ke negara ini dapat diselesaikan.
"Ada syarikat pembuatan yang terpaksa menolak pesanan baharu disebabkan khuatir tidak dapat memenuhi permintaan. Syarikat pembinaan juga terpaksa berdepan penalti jika berlaku kelewatan untuk menyelesaikan sesuatu projek.
"Begitu juga restoran yang mendapat pelbagai aduan daripada pengguna disebabkan kelewatan servis mereka akibat kekurangan tenaga kerja.
"Hotel turut berdepan situasi sama apabila tidak dapat memberikan khidmat pada masanya kepada pelanggan disebabkan bilik tidak dapat disiapkan secepat mungkin. Sektor perladangan juga mengalami kerugian yang besar ekoran kurangannya penuai," katanya lagi.
#Kementerian Sumber Manusia #tenaga buruh asing #tenaga kerja tempatan
;