MEF nasihatkan majikan pastikan pekerja terima suntikan vaksin
Bernama
Februari 19, 2021 06:15 MYT
Februari 19, 2021 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menasihatkan majikan agar memastikan pekerja yang diberikan kemudahan penginapan di asrama menerima suntikan vaksin bagi mencegah COVID-19.
Dalam kenyataan semalam, presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata majikan perlu mempunyai perancangan yang betul supaya suntikan vaksin dan operasi syarikat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mengenai tanggungjawab majikan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).
"Majikan yang menggajikan pekerja tempatan dan asing termasuk pekerja asing tidak didokumentasikan perlu memastikan semua pekerja menerima suntikan vaksin atau risiko didenda di bawah Akta 446," kata Syed Hussain.
Beliau berkata MEF menyokong cadangan agar semua pihak sama-sama bertanggungjawab memerangi penularan COVID-19.
"Semua ahli MEF sedar mengenai tanggungjawab mereka dan kami yakin mereka akan melaksanakan langkah pemvaksinan kepada pekerja seperti yang ditetapkan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#MEF
#Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia
#suntikan vaksin
#COVID-19
#Dr Syed Hussain Syed Husman
#operasi syarikat