MEF gesa majikan swasta beri tuala wanita percuma, tangani kemiskinan haid

Bernama
Disember 12, 2022 04:20 MYT
Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata golongan wanita turut sama menggembleng tenaga menyumbang ke arah peningkatan ekonomi keluarga dan negara. - Foto MEF
KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa majikan swasta berganding bahu bersama-sama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan inisiatif pemberian tuala wanita secara percuma kepada pekerja wanita bagi menangani isu kemiskinan haid.
Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata golongan wanita turut sama menggembleng tenaga menyumbang ke arah peningkatan ekonomi keluarga dan negara.
"Justeru penjagaan kesihatan wanita di negara ini perlu dititikberatkan dan seharusnya bermula dari penjagaan asas diri seperti kebersihan sewaktu haid," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
MEF turut menyokong supaya kempen dan program pemberian tuala wanita secara besar-besaran oleh KKM diberikan peruntukan khusus dalam Bajet 2023.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa hari ini dilaporkan berkata KKM bakal memulakan inisiatif pemberian tuala wanita percuma bagi menangani isu kemiskinan haid di negara ini.
-- BERNAMA
#MEF #tuala wanita #KKM #isu kemiskinan haid
;