MEF gesa kerajaan kaji nilai bantuan kepada pekerja dan majikan

Umavathi Ramayah
Mac 30, 2020 12:57 MYT
Shamsuddin berharap majikan bertindak rasional dengan tetap membayar gaji, sekurang-kurangnya untuk 12 hari. - Gambar fail.
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula nilai bantuan yang diberikan kepada pekerja dan majikan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, bantuan kewangan sebanyak RM600 bagi setiap pekerja menerusi program berkenaan pada ketika ini adalah terlalu sedikit.
"Saya mencadangkan nilai bantuan itu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM1,100 untuk setiap pekerja dan majikan tanpa mengira industri kecil atau besar dan bayaran itu perlu disalurkan selama sembilan bulan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, susulan penularan wabak COVID-19.
Muhyiddin berkata, mereka yang layak menerima bantuan itu adalah pekerja yang diberi notis cuti tanpa gaji bermula 1 Mac 2020.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, subsidi RM600 yang dibayar itu tidak mencukupi memandangkan terlalu banyak syarat yang dikenakan terhadap pemohon, malah pihaknya menjangkakan terlalu sedikit bilangan majikan yang akan mendapat faedah itu.
Beliau berkata, majikan tidak mampu untuk membayar gaji penuh kepada pekerja mereka, justeru beliau berharap kerajaan dapat membantu majikan dalam memberi fleksibiliti dalam perkara berkenaan.
"Memang majikan tidak dapat membayar penuh namun saya berharap majikan bertindak rasional dengan membayar sekurang-kurangnya gaji untuk 12 hari kepada pekerja kerana mereka juga memerlukan wang untuk kelangsungan hidup," jelasnya.
#ekonomi #kerajaan #MEF #Muhyiddin Yassin #Shamsuddin Bardan #subsidi
;