MEF gesa aktiviti penguatkuasaan diselaras, elak kekeliruan
Bernama
Jun 19, 2021 23:09 MYT
Jun 19, 2021 23:09 MYT
KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa pihak berkuasa melaksanakan aktiviti penguatkuasaan yang diselaraskan dengan baik, termasuk dari segi komunikasi bagi mengelak kekeliruan serta menjejaskan perniagaan.
Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata ini berikutan majikan terus berdepan masalah seperti keperluan berurusan dengan pelbagai pihak berkuasa yang mencetuskan kekeliruan berbanding membantu perniagaan menumpukan usaha menjalankan tanggung jawab mereka.
"Penyelarasan antara jabatan adalah penting kerana usaha unit-unit penguatkuasaan memenuhi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) masing-masing sebaliknya memberi kesukaran kepada majikan. Usaha ini memerlukan penyelarasan yang lebih baik di masa depan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Syed Hussain berkata MEF juga sudah beberapa kali membangkitkan perkara tersebut dengan pihak berkuasa sebelum ini dan menyifatkan sebarang aktiviti pemeriksaan yang tidak diselaras hanya menjejaskan perniagaan serta proses pemulihan.
"Majikan tidak harus diberi tekanan dan gangguan tidak wajar kerana sudah dibebani dengan keperluan mengurus tekanan peribadi mahu pun ekonomi.
"Oleh itu, MEF sekali lagi meminta agar semua aktiviti penguatkuasaan membabitkan agensi berkaitan dapat diselaraskan sewajarnya, sekali gus membantu kami menangani tekanan akibat pandemik ini," katanya.
-- BERNAMA