The Meetings Show 2023: MyCEB persembahkan keunggulan Malaysia kepada dunia

Israr Khalid
Julai 13, 2023 10:20 MYT
Delegasi negara di reruai Malaysia ketika acara The Meetings Show 2023 di London baru-baru ini. - Foto MyCEB
KUALA LUMPUR: Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) bersama para pemain utama industri berjaya merumuskan penyertaan sulungnya dalam 'The Meetings Show 2023' yang baru-baru ini diadakan di ExCEL London, United Kingdom.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Zain Azrai Rashid berkata, Team Malaysia menghargai maklum balas yang memberangsangkan, mencerminkan kejayaan acara tersebut.
“Sepanjang dua hari acara, delegasi Malaysia mencapai keputusan yang amat mengagumkan dengan angka RM570 juta dalam anggaran impak ekonomi kepada negara hasil daripada pertemuan-pertemuan di reruai.
“Angka ini dapat dicapai berdasarkan peluang-peluang perniagaan daripada lima pempamer yang menjadi sebahagian daripada Team Malaysia termasuk MyCEB, Business Event Sarawak, Pusat Konvensyen dan Pameran Borneo, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, serta Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia,” katanya.
Menerusi penyertaan Malaysia, MyCEB percaya petunjuk berkualiti yang diperoleh daripada The Meetings Show 2023 telah menetapkan momentum untuk adegan acara perniagaan yang meriah untuk Malaysia pada masa akan datang.
Dengan keyakinan penuh, katanya, negara bakal membuka pintu bagi menjemput perwakilan daripada pelbagai industri, yang mana kehadiran mereka akan saling melimpahkan manfaat buat klien, rantaian nilai acara perniagaan serta destinasinya.
Setakat hari ini, tambah Zain, MyCEB mempunyai 23 perjalanan insentif yang sudah disahkan, dijangka menjana impak ekonomi bernilai RM124.9 juta.
Sejak MyCEB mula diwujudkan pada 2011 hingga 2019, ia telah menerima sekitar 411,150 peserta di bawah perjalanan insentif, menjana sekitar RM6.2 bilion anggaran impak ekonomi kepada negara.
Sedang Malaysia bersiap untuk terus ke hadapan dalam industri acara perniagaan, katanya, MyCEB bersama biro-biro negeri dan para pemegang taruh industri akan terus menjalin usahasama rapat dan hubungan sepakat dengan beberapa kementerian serta agensi.
Ia termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Benua Eropah juga menurutnya, adalah pasaran terbesar bagi para peserta persatuan persidangan antarabangsa itu dan berterusan mengalami pertumbuhan pasaran.
Zain menjelaskan, benua tersebut tertarik dan menunjukkan minat kepada Malaysia yang membentuk 50 peratus saham pasaran acara perniagaan global dan dijangka terus mengukuh pada kedudukannya sehingga 2030.
“Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan adalah acara perniagaan tidak terikat kepada musim pelancongan biasa di Eropah, mengadakan acara perniagaan adalah lebih dialu-alukan ketika musim yang tidak ramai pelancong.
“Dengan ini, Malaysia akan berupaya mengambil peluang sepanjang tahun untuk mempersembahkan destinasi dan kekuatan industri kita dalam menyajikan pengalaman yang tak mungkin dapat dilupakan, sebaik dan selancar mungkin,” tambahnya.
#MyCEB #The Meetings Show 2023 #impak ekonomi #acara perniagaan
;