Mee segera macam spageti
Wan Syamsul Amly
Mac 24, 2013 19:45 MYT
Mac 24, 2013 19:45 MYT
HUJAN renyai-renyai menyambut pagi Ahad di Felda Sahabat, sejuk dan waktu sebegini sesuai menyambung semula tidur jika tiada tanggungjawab untuk ke pejabat.
Hasrat untuk berjogging seawal pagi di pesisir pantai Felda Sahabat bersama jurukamera, Ahmad Amir Ariffin sebelum memulakan tugas di hari minggu nampaknya terpaksa dibatalkan.
Jadi saya memutuskan untuk terus bersarapan dan mencari berita-berita menarik yang mahu diketahui rakyat di luar sana.
Umum harus tahu kepayahan menemubual seorang anggota keselamatan dan lebih perit jika mahu mereka mendedahkan identiti.
Selain berita 'kepala' askar dan polis yang disaji secara langsung, saya cuba menyelami jiwa sentimental anggota mereka selepas sebulan berjauhan dari keluarga.
Majoritinya tidak mahu mengaku, pasti kredibiliti lelaki 'macho' tidak boleh tergugat lebih-lebih lagi semua anggota keselamatan seolah sudah menjadi idola penduduk di sini.
Sebatang rokok dihulur kepada anggota yang saya panggil Pok Din -- tanda berkenalan -- orang Kelantan, dinyala dan mendung pagi ini saya putuskan untuk "slow talk" bersamanya.
"Bini beranok, anok nombo satu, meme sedih dok leh jupo, tapi nok buat guano, kijo demi gharo," (Isteri bersalin, anak nombor satu. Memang sedih tak boleh jumpa tapi nak buat macamana, kerja demi negara) katanya pekat dalam loghat negeri Cik Siti Wan Kembang.
Pok Din yang sudah berpindah menjaga beberapa kampung sekitar Felda Sahabat tahu, perasaan itu tidak boleh dilayan sangat. Ia boleh menjejaskan prestasi kerja.
Tambahan operasi dikatakan sudah sampai ke penghujung. Jadi maknanya makin singkat tempoh untuk Pok Din pulang ke kampungnya - sekali gus dapat mengucup dahi isteri dan anak tercinta.
Nampak bergenang air mata Pok Din semasa saya tinggalkannya sebelum ke sidang media harian di pusat media.
Lega mengetahui operasi pembersihan penceroboh sudah hampir tamat dan kemungkinan besar penduduk Kampung Tandou dan sekitarnya dapat kembali ke rumah masing-masing dalam masa dua hari lagi.
Melayan rutin harian menghantar berita di pusat media yang terletak 5 minit jarak dengan berjalan kaki ke pantai Felda Sahabat memang menyeronokkan.
Berjumpa petugas media,bercerita tentang perancangan harian dan mengucap selamat tinggal pada yang mahu meninggalkan Felda Sahabat -- pulang ke Kuala Lumpur selepas 'tamat tempoh' di sini - cemburu juga rasanya.
Selepas membancuh air kopi 3 dalam 1, saya teringat nasib Pok Din yang belum berjumpa anaknya sambil menjamah mee segera sumbangan pelbagai pihak di sini.
Saya rasa mee segera ini sedapnya macam makan spageti.