MEDIU tawar biasiswa khas kepada pelajar Malaysia

Astro Awani
September 19, 2024 00:08 MYT
Dr Omar Muhammad Din berkata, biasiswa penuh termasuk yuran pengajian dan penginapan ditawarkan bagi Program Asasi Bahasa Arab dan Pengajian Islam untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf. - Foto MEDIU
KUALA LUMPUR: Universiti swasta yang berasaskan prinsip dan nilai Islam, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) menawarkan dua biasiswa khas untuk pelajar Malaysia untuk menyambung pengajian di universiti antarabangsa itu bagi pengambilan September.
Timbalan Ketua Eksekutif MEDIU, Prof Madya Dr Omar Muhammad Din berkata, biasiswa penuh termasuk yuran pengajian dan penginapan ditawarkan bagi Program Asasi Bahasa Arab dan Pengajian Islam untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf.
Menurut beliau, bagi program ijazah, MEDIU menyediakan biasiawa yuran pengajian sepenuhnya bagi progam Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Al-Quran dan Ulumul Quran, Tafsir dan Pengajian Qiraat.
"Keseluruhan program dan kursus yang ditawarkan di MEDIU adalah diakreditasi penuh oleh Pihak Berkuasa Akreditasi Malaysia (MQA) dan diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).
"Sementara itu, kaedah pembelajaran di MEDIU melalui dua cara iaitu secara bersemuka di kampus utama universiti di Desa Petaling dan secara maya di mana permohonan biasiswa ini akan ditutup pada 22 September ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
MEDIU yang ditubuhkan sejak 2007 dan beroperasi di Shah Alam sebelum berpindah ke kampus utama di Desa Petaling pada 2018.
Ketika ini, universiti itu memiliki 3,500 pelajar di mana 2,800 pelajar mengikut pengajian secara maya dengan majoriti pelajar antarabangsa mencecah 70 peratus.
Bagi kaedah pembelajaran di kampus, ia membabitkan seramai 700 pelajar dengan majoriti pelajar tempatan sebanyak 65 peratus.
MEDIU yang ditubuhkan hasil kerjasama kerajaan Malaysia dan Arab Saudi adalah sebagai universiti berkonsep wakaf yang ketika itu dikenali universiti maya atau dalam talian sebelum memulakan pengajian dalam kampus pada 2010.
#Sijil Pelajaran Malaysia #Arab Saudi #Al-Quran #MEDIU
;