Mediha Mahmood dilantik Pengarah Eksekutif CMCF baharu

Bernama
Mac 1, 2021 17:03 MYT
Mediha dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hala tuju strategik badan pengawalseliaan kendiri bebas itu. - Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Perundangan AirAsia Digital, Mediha Mahmood dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) berkuat kuasa mulai 1 Feb lepas.
Pengerusi CMCF Datuk Khairul Anwar Salleh berkata Mediha dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hala tuju strategik badan pengawalseliaan kendiri bebas itu.
"Mediha akan memantau serta menyelia semua operasi, fungsi dan aktiviti CMCF yang bertujuan untuk menyebarkan misi dan 'suara' organisasi tersebut.
Ini merangkumi usaha dalam menyokong isu berkaitan dengan kawalan kendiri industri, termasuk cetak rompak digital, pengemaskinian kod kandungan dan meneruskan kerjasama strategik bersama semua pemegang kepentingan di samping mempertingkatkan peranan CMCF sebagai titik tumpuan dan pusat sehenti bagi pentadbiran kandungan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mediha yang berkelulusan dalam bidang perundangan dan kawal selia, mempunyai pengalaman selama 17 tahun di firma guaman ternama dan syarikat-syarikat tersenarai awam termasuk berkhidmat di Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) selama 11 tahun.
Dalam kenyataan sama, Mediha berkata dalam separuh pertama tahun 2021, CMCF akan menumpukan perhatian terhadap pengemaskinian kod kandungan bagi menangani permasalahan baharu yang timbul di dalam industri serta isu yang tidak ditangani sepenuhnya sebelum ini.
Katanya, CMCF akan terus berbincang dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk "key opinion leaders" (KOL) atau pempengaruh dan juga pemasar digital serta pengusaha e-dagang.
"Usaha ini bertujuan untuk berkongsi nilai kawalan kendiri, serta fakta yang kurang diketahui ramai iaitu pematuhan kepada kod kandungan boleh bertindak sebagai pembelaan terhadap sebarang pendakwaan, tindakan atau prosiding, di dalam mahupun di luar mahkamah," katanya.
-- BERNAMA
#CMCF #Bekas Ketua Perundangan AirAsia Digital #Mediha Mahmood #Pengarah Eksekutif CMCF #baharu #Pengerusi CMCF #Khairul Anwar Salleh
;