Mediasi tiga pemimpin DAP, Siti Mastura gagal, perbicaraan diteruskan

Bernama
Mei 15, 2024 16:12 MYT
Ketiga-tiga pemimpin DAP tersebut memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura (gambar), berhubung ucapan beliau dalam ceramah ketika Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman. - Gambar fail/Astro AWANI
GEORGE TOWN: Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan dua lagi pemimpin kanan parti itu serta Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad, gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan saman fitnah ketiga-tiga mereka terhadap wakil rakyat PAS itu melalui proses mediasi, hari ini.
Peguam yang mewakili Lim, veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim, Datuk Sankara Narayanan Nair berkata kes tersebut, akan dibicarakan di mahkamah bermula 2 Sept ini.
"Proses mediasi bermula 11 pagi tadi, tetapi semua pihak tidak dapat mencapai persetujuan, oleh itu sesi ini tidak berjaya. Kita akan ke mahkamah untuk perbicaraan, namun kami tidak boleh mendedahkan lebih banyak.
"Perbicaraan akan bermula pada 2 Sept. Ia akan menjadi perbicaraan bersama, ia telah digabungkan," katanya kepada pemberita selepas proses mediasi di luar Bilik Mediasi Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Turut hadir Siti Mastura dan peguamnya Mohd Faizi Che Abu.
Pada November 2023, media melaporkan ketiga-tiga pemimpin DAP tersebut memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura, berhubung ucapan beliau dalam ceramah ketika Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.
-- BERNAMA
#pemimpin DAP #Lim Guan Eng #saman fitnah #Dr Siti Mastura Muhammad
;