Median simpanan KWSP Bumiputera susut 70 peratus
Najib Aroff
Mac 4, 2023 17:57 MYT
Mac 4, 2023 17:57 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan Bumiputera merekodkan penurunan kadar median simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 70 peratus setalah empat kali proses pengeluaran khas sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah, median simpanan golongan Bumiputera pasca COVID-19 adalah sebanyak RM4,900 berbanding RM15,500 sebelum pandemik melanda.
"Pencarum berbangsa India merekodkan penurunan simpanan sebanyak 40 peratus dengan median simpanan RM14,900 pasca COVID-19 berbanding RM25,700 sebelum pandemik.
"Pencarum berbangsa Cina pula hanya merekodkan penurunan satu peratus median simpanan dengan RM45,200 berbanding RM45,800 sebelum pandemik.
"Bukan sahaja pengeluaran ini menjadi punca mengapa simpanan berkurangan atau rendah, sebaliknya faktor lain turut menyumbang seperti struktur gaji yang rendah," katanya ketika membentangkan prestasi dividen 2022 KWSP, di sini, pada Sabtu.
Melalui empat pengeluaran sebelum ini, sejumlah RM145.5 bilion dikeluarkan melibatkan RM20.8 bilion di bawah i-Lestari, RM58.7 bilion di bawah i-Sinar, RM21.4 bilion di bawah i-Citra dan Pengeluaran Khas pada April 2022 sebanyak RM44.6 bilion.
Katanya lagi, 44 peratus ahli dalam sektor formal mempunyai gaji kurang daripada RM2,000 sebulan, selain kurangnya dasar gaji minimum sebelum tahun 2014 yang menyebabkan simpanan kurang.
Selain itu jelasnya, simpanan yang tidak konsisten dan bekerja di bawah kelayakan juga menjadi penyumbang kepada caruman yang rendah.
"Ramai ahli KWSP mempunyai kadar celik kewangan yang rendah. Kadar celik kewangan ahli KWSP adalah pada 29 peratus berbanding 57 peratus untuk negara Pertubuhan Kerjasama dan Pertumbuhan Ekonomi (OECD), 78 peratus bagi rakyat Singapura dan 92 peratus bagi rakyat Hong Kong dan China," ujarnya.
Justeru katanya, KWSP mengariskan beberapa strategi untuk 2023 termasuk mempercepatkan pengembangan liputan kepada semua pekerja dan golongan dewasa yang mencapai had umur bekerja, memperkenalkan produk caruman sukarela lebih luas dan program lebihan sukarela serta meningkatkan kadar celik kewangan melalui pendidikan dan rancangan persaraan.