Media tonggak utama perkasa visi Kepengerusian ASEAN 2025
Bernama
Januari 14, 2025 05:45 MYT
Januari 14, 2025 05:45 MYT
PUTRAJAYA: Media memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Beliau menekankan kepentingan penglibatan media dalam merapatkan jurang antara ASEAN dan rakyatnya, agar visi kerajaan dapat dirasai di semua peringkat.
"ASEAN bukan sekadar konsep di peringkat tinggi--ia adalah sesuatu yang praktikal dan boleh dicapai. Ia mesti relevan dan memberikan manfaat kepada rakyat.
"Penglibatan media sangat penting untuk memperjelas mengenai ASEAN serta menunjukkan kaitannya dalam kehidupan seharian," katanya dalam taklimat khas kepada media menjelang Mesyuarat Peringkat SOM dan Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Langkawi.
Taklimat yang diadakan di sini, pada Selasa menyerlahkan peranan utama media dalam menghubungkan ASEAN dengan rakyatnya, menurut kenyataan kementerian.
Amran berkata, Malaysia komited memastikan inisiatif ASEAN berpaksikan rakyat, dengan fokus kepada keperluan dan aspirasi masyarakat di seluruh rantau.
"Segala usaha kita mesti akhirnya membawa manfaat kepada rakyat. ASEAN mesti menjadi milik semua--rakyat Malaysia dan semua yang menganggap ASEAN sebagai rumah," katanya.
Dengan menganjurkan mesyuarat ASEAN merentasi pelbagai negeri, Amran berkata Malaysia berhasrat untuk menggalakkan penglibatan akar umbi dan mempamerkan kepelbagaian negara yang kaya.
Beliau menegaskan, media memainkan peranan kritikal dalam menonjolkan usaha ini serta impaknya kepada masyarakat tempatan, di samping mempromosikan manfaat ekonomi dan sosiobudaya ASEAN kepada masyarakat global.
Amran turut menegaskan, kepimpinan Malaysia dan kesiapsiagaannya untuk menjadi tuan rumah ASEAN 2025.
Setiausaha Agung itu turut memuji peranan media dalam menonjolkan kehebatan Malaysia termasuk warisan budaya, profesionalisme dan layanan mesra yang terkenal.
"Sebagai tuan rumah, marilah kita tunjukkan kepada dunia keistimewaan Malaysia. Bersama-sama, kita boleh memastikan kejayaan ASEAN dan menonjolkan komitmen kita terhadap prinsipnya," katanya.
Beliau turut yakin bahawa media mampu mengangkat kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, sambil mengukuhkan kaitan dan kepentingannya kepada rakyat Malaysia, sejajar dengan visi lebih besar untuk memimpin ASEAN ke arah masa depan yang makmur dan bersatu. - BERNAMA