Media tidak dibenar buat liputan pembentangan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB di Parlimen
Rahimah Abdullah
Mac 4, 2016 16:44 MYT
Mac 4, 2016 16:44 MYT
Pihak media tidak dibenarkan membuat liputan pembentangan Laporan Akhir Pengauditan Ketua Audit Negara terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan berada di luar pintu masuk utama ke bangunan Parlimen.
Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), William Leong yang ditemui media di luar pintu masuk utama bangunan parlimen enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan pembentangan laporan berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut memberi reaksi sama apabila ditanya sama ada laporan audit berkenaan diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
"Pembentangan itu disambung selepas makan tengah hari. Saya tiada komen. Nanti ya," katanya.
Difahamkan pembentangan laporan itu bermula jam 9 pagi dan berakhir 12.15 tengah hari.
Ia kemudian disambung semula pada jam 3 petang sehingga jam 5 petang.
Pembentangan Laporan Akhir Pengauditan Ketua Audit Negara itu juga dijangka diteruskan pada Isnin depan.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mengumumkan penangguhan pembentangan Laporan Akhir Pengauditan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB yang dijadualkan pada 24 dan 25 Februari lalu.
Pengerusinya, Datuk Hasan Arifin berkata, ia berikutan kebanyakan ahli PAC berada di luar negara termasuk mengerjakan ibadah umrah.
Katanya kehadiran semua ahli PAC penting bagi mendengar pembentangan laporan akhir pengauditan Ketua Audit Negara Terhadap 1MDB berkenaan.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Arul Kanda
#Hassan Arifin
#Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
#PAC
#Parlimen