Media sosial perlu bertanggungjawab dalam kongsi berita - Jamil Khir

Bernama
Mei 22, 2016 18:07 MYT
JAMIL KHIR: Setiap berita atau maklumat yang dikongsi akan memberi kesan kepada masyarakat serta negara.
Media baharu atau media sosial dinasihatkan lebih bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat supaya tidak menimbulkan salah faham atau fitnah dalam masyarakat.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata media sosial sebagai pelapor dan penyampai maklumat tidak boleh memandang ringan perkara tersebut kerana setiap berita atau maklumat yang dikongsi akan memberi kesan kepada masyarakat serta negara.
"Berita atau maklumat yang ingin dikongsi juga perlu lengkap agar ia tidak akan menimbulkan salah faham ataupun fitnah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pecah tanah pembinaan asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Ledang dekat Sagil, di sini hari ini.
Jamil Khir berkata sebagai contoh, baru-baru ini berlaku penyebaran tentang gulai khinzir di sebuah restoran yang sebenarnya berlaku di luar negara sehingga menimbulkan salah faham masyarakat dengan menyangka ia berlaku di negara ini.
Beliau berkata disebabkan perkara itu, beberapa agensi penguat kuasa kerajaan dikecam dan dimarahi oleh orang ramai yang bimbang dengan keadaan tersebut kerana mereka tidak tahu bahawa kejadian itu sebenarnya berlaku di negara lain.
Timbul fitnah
Katanya jika dahulu, fitnah secara tradisinya disampaikan dari mulut ke mulut, namun, pada hari ini ia berleluasa menerusi media sosial yang menyebabkan berita palsu tersebar ke seluruh dunia.
"Oleh itu, saya ingatkan orang ramai mahupun media sosial agar lebih berhati-hati dengan berita yang ingin dikongsi supaya tidak menimbulkan fitnah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata sudah tiba masanya usaha penyantunan anak yatim dilakukan dalam skala besar bagi memperkukuhkan lagi usaha membela kebajikan golongan itu di negara ini.
Beliau berkata sebagai sebuah negara yang menuju ke arah negara maju, usaha seperti membina asrama anak yatim bernilai RM4 juta itu perlu diperhebatkan di tempat lain bagi menunjukkan rakyat Malaysia bukan sebuah masyarakat bersifat individu sebaliknya peka dengan keadaan sekeliling.
Katanya pembinaan asrama yang boleh menempatkan kira-kira 100 penghuni itu adalah tepat pada masanya dan beliau kagum kerana ia dibina berdasarkan sumbangan daripada orang ramai.
Terdahulu, turut diadakan majlis penyampaian sumbangan oleh penderma antaranya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bernilai RM100,000 dan Faradisse High Sdn Bhd sebanyak RM1 juta.
#fitnah #Jamil Khir Baharom #media sosial #sevar maklumat
;