Media sosial kecam penyebar berita palsu letupan bom di LRT Taman Jaya
Nizam Bakeri
Disember 21, 2015 16:47 MYT
Disember 21, 2015 16:47 MYT
Kebakaran enam buah kereta di ruang parkir LRT Taman Jaya tengah hari tadi mendapat perhatian warga media sosial sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku.
Beberapa kiriman twit awal sebaik sahaja kejadian itu berlaku menimbulkan persoalan dan khabar angin bahawa stesen itu sendiri mengalami kebakaran.
Terdapat juga beberapa twit yang menimbulkan khabar angin bahawa kebakaran tersebut berpunca dari letupan bom.
Hal ini disebabkan oleh gambar kejadian tersebut juga disebarkan melalui Whatsapp yang disertai dengan berita tidak sahih mengenai punca kebakaran sekaligus menyebarkan persoalan tentang kesahihan khabar angin berkenaan.
Namun begitu, Ketua Polis Negara telah mengambil tindakan pantas untuk menafikan khabar angin berkenaan.
Pihak RapidKL juga menggunakan akaun Twitter untuk menerangkan punca kejadian di samping menyertakan kenyataan media berkenaan kebakaran tersebut.
Warga media sosial yang bertanggungjawab turut menyebarkan pengesahan ini dan menasihati semua pihak agar menjauhi sebarang penyebaran khabar angin yang mampu mengganggu ketenteraman awam.