Media sosial, internet mendominasi kehidupan rakyat Malaysia
Bernama
September 16, 2023 11:40 MYT
September 16, 2023 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Media sosial dan Internet berpengaruh kuat dalam kehidupan harian rakyat Malaysia, secara signifikan bukan sahaja membentuk gaya hidup mereka, proses berfikir dan nilai diri bahkan fahaman politik mereka.
Satu kajian oleh Kajidata pada Julai yang menggunakan sampel rawak sebanyak 1,082 responden, mendedahkan bahawa 71 peratus rakyat Malaysia menggunakan aplikasi WhatsApp setiap hari sepanjang minggu, diikuti oleh Facebook (51 peratus), TikTok (49 peratus), Instagram (45 peratus), dan X (sebelumnya Twitter) pada kadar 30 peratus.
Penggunaan Internet juga didapati secara meluas, dengan 61 peratus responden melaporkan aktiviti dalam talian sepanjang minggu.
Dalam analisis hasil kajian, Penasihat Kajidata Profesor Datuk Seri Syed Arabi Idid menunjukkan bahawa saluran media tradisional seperti televisyen (40 peratus) dan radio (20 peratus) tidak mampu bersaing dengan daya tarikan media sosial dan Internet.
Bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata zaman digital telah memencilkan lagi media cetak, seperti yang jelas dilihat dalam data kajian, dengan hanya 20 peratus terlibat dengan media cetak sepanjang minggu.
Syed Arabi menekankan bahawa penemuan itu mendedahkan saluran mana yang mempunyai pengaruh yang besar terhadap orang ramai dan bagaimana ia boleh digunakan secara berkesan untuk menarik penglibatan dan perluaskan pengaruh.
Bersetuju dengan Syed Arabi mengenai pengaruh media sosial dan Internet, Penasihat Kajidata Datuk Haris Ismail berkata bahawa penemuan itu menegaskan hakikat yang sedia diketahui iaitu media sosial digunakan secara meluas untuk mempengaruhi orang ramai, termasuk oleh parti politik.
Pengaruh mereka terutamanya jelas semasa pilihan raya enam negeri pada Ogos lalu dengan parti-parti politik memperhebatkan kehadiran mereka secara dalam talian, malah terlibat dalam politik toksik dengan memainkan isu-isu berkaitan bangsa, agama, dan raja (isu 3R).
Bagaimanapun, Haris berkata bahawa jangkauan parti politik di media sosial tidak semestinya bermaksud mereka mempunyai penguasaan besar dalam arena politik.
"Ini kerana kebanyakan mereka membuat 'penampilan berbayar' di alam siber dan, dengan itu, tidak mencerminkan dengan tepat kekuatan sebenar parti," jelasnya.
Syed Arabi juga menunjukkan satu penemuan penting lain dari kajian yang dijalankan sebelum pilihan raya enam negeri pada Ogos itu, lebih separuh daripada rakyat Malaysia menyatakan mereka akan mengundi parti berbanding calon.
Sementara itu, orang Melayu, Bumiputera lain, dan pengundi Cina kebanyakannya menyokong parti, lebih daripada separuh pengundi India dan kumpulan etnik lain ,lebih sukakan calon individu.
Haris menekankan bahawa trend ini terutamanya ketara dalam kalangan penyokong parti seperti PAS, yang memberikan keutamaan kepada parti berbanding calon, seperti yang dilihat dalam pilihan raya enam negeri itu.
Selain itu, populariti pemimpin-pemimpin negara mengalami turun naik berbanding kajian sebelumnya, yang menurut Syed Arabi mencerminkan harapan tinggi diletakkan kepada pemimpin dan realiti dihadapi ramai orang.
-- BERNAMA