Media sosial Barat banyak temberang, hapuskan aplikasi mereka - Duta BRICS
Khalis Khadir
Oktober 31, 2024 07:00 MYT
Oktober 31, 2024 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Banyak rangkaian media sosial hari ini didakwa memanipulasi kebenaran dengan mengangkat Barat sebagai penyelamat dunia.
Ringkasan AI
- Manipulasi Media Sosial: Rangkaian media sosial Barat dituduh memanipulasi kebenaran dan mempromosikan budaya Barat, mengabaikan isu-isu penting seperti yang berlaku di Palestin.
- Ancaman kepada Pemikiran: Duta BRICS, Nasser Abu Nassar, menegaskan bahawa penyebaran maklumat oleh media sosial Barat mempengaruhi pemikiran masyarakat dan memerlukan sokongan terhadap platform yang lebih adil.
- Pembentukan Komuniti Celik Teknologi: Forum Pendidikan Belia Seluruh Rusia (SHUM) 2024 bertujuan membentuk komuniti belia yang celik teknologi untuk mencipta media beretika dan memahami perbezaan antara maklumat benar dan palsu.
Duta BRICS bagi Jordan dan Asia Barat, Nasser Abu Nassar berkata, ini merupakan satu ancaman kerana segala penyebaran dimainkan mereka mempengaruhi corak pemikiran masyarakat dunia.
“Semua algoritma rangkaian media sosial Barat mempromosikan budaya Barat, lambang kemegahan mereka. Dan pihak Barat cuba elak menyebarkan kebenaran.
"Lihat apa yang berlaku di Palestin, anda boleh melihat pembunuhan yang berterusan dan semua kandungan Palestin dilarang untuk ditayangkan di rangkaian sosial mereka.
"Ini semua kerana pemilikan platform tersebut adalah milik Barat, yang sebenarnya diketuai oleh semua jenis perisikan Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI selepas persidangan Forum Pendidikan Belia Seluruh Rusia (SHUM) 2024 pada Khamis.
Nasser menegaskan, tiada cara lain bagi melemahkan doktrin pihak Barat selain menghapuskan aplikasi ciptaan mereka dan menyokong rangkaian media sosial baharu yang adil dalam melaporkan fakta.
Saranan berkenaan senada dengan hasrat Menteri Polisi Belia di Wilayah Kalinigrad, Anna Musevich yang komited membentuk komuniti anak muda celik teknologi bagi mencipta platform media berteraskan keadilan.
“Matlamat utama SHUM 2024 adalah untuk membentuk komuniti belia dari semua wilayah di Rusia dan juga dari pelbagai negara yang akan bersatu di forum ini.
"Satu matlamat kami adalah untuk mencipta keadilan media baharu, komuniti yang dapat memahami apa yang palsu dan apa yang benar.
"Komuniti ini akan mencipta berita yang jujur dan menyebarkan nilai etika ini ke seluruh dunia,” ujarnya.
Anna menambah, wilayahnya sejak dahulu lagi diterapkan dalam modul pendidikan khas di sekolah dan universiti dengan menekankan ancaman berita palsu terhadap pembangunan sesebuah negara.
Nasihat beliau, masyarakat dunia perlu bijak memilih fakta kerana semua maklumat dapat diakses hanya di hujung jari.