Media perlu sebar luas berita yang benar, bantu peranan agensi agama - Mohd Na'im
Bernama
Disember 20, 2023 05:40 MYT
Disember 20, 2023 05:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pengamal media perlu memainkan peranan dalam menyebarluaskan berita yang benar bagi membantu peranan agensi agama di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Beliau berkata tanpa kerjasama media, peranan yang dimainkan oleh organisasi berkaitan agama seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) tidak dapat dimaklumkan kepada orang ramai.
"Kalau peranan ini tidak dimainkan dan kerjasama ini tidak diperkukuh, saya rasa agensi agama ini tidak akan ke mana, jadi saya harap hubungan media dan agensi ini dapat diteruskan," katanya dalam ucapan pada Majlis Penghargaan dan Amal YaPEIM Bersama Media 2023 di sini pada malam Rabu.
Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin pula berkata wartawan perlu menjadikan etika kewartawanan Malaysia sebagai panduan.
"Ini kerana kita tidak mahu laporan yang tidak sahih kerana dari situ akan terhasilnya berita palsu yang bakal tersebar luas kepada seluruh masyarakat.
"Kita sekarang berada di dalam era digital... portal media sudah banyak melangkau berbanding media cetak dan penyiaran jadi wujud kebimbangan mengenai laporan serta maklumat yang kita salurkan terutama daripada 'wartawan segera,'" katanya ketika berucap sebagai wakil media pada majlis itu.
Beliau berkata berita yang tidak sahih bukan sahaja memberi kesan kepada wartawan yang menulisnya tetapi juga organisasi secara keseluruhan jadi etika kewartawanan harus dirujuk dan digunakan sebagai panduan dalam melaporkan berita.
Sebanyak 100 pengamal media yang terdiri daripada wartawan, jurugambar serta jurukamera serta bekas pengamal media disantuni oleh YaPEIM menerusi bantuan tunai berjumlah RM50,000 melalui lima persatuan dan kelab media.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Dr Mohd Radzif Mohd Yunus berkata mereka menerima bantuan RM500 seorang di bawah program Inspirasi Prihatin YaPEIM.
"Usaha ini berjaya direalisasikan dengan kerjasama Kelab Media KL dan Selangor (KLS), Persatuan Jurugambar Media Malaysia (MPPA), Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA), Kelab Media Putrajaya dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang mengenal pasti penerima dalam kalangan pengamal media yang benar-benar memerlukan," katanya.
-- BERNAMA