Media Malaysia-Indonesia melalui ISWAMI perhebat sinergi untuk era pasca COVID-19

Ridauddin Daud
November 22, 2021 16:33 MYT
Mokhtar (empat dari kanan) bersama barisan kepimpinan baharu ISWAMI yang turut membariskan Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail (dua dari kanan). - Foto ISWAMI
KUALA LUMPUR: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) kini memainkan peranan membantu kerajaan menerusi media kedua-dua negara dalam menggerakkan kembali sektor-sektor sosioekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Sinergi kedua-dua negara ini turut menyaksikan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Mokhtar Hussain sebagai Presiden ISWAMI Malaysia untuk penggal 2021/2023.
Mokhtar dipilih menggantikan presiden sebelum ini, Abdul Rashid Yusof, yang memutuskan untuk mengundurkan diri selepas memimpin sejak 2019.
Dalam ucapan pertamanya, Mokhtar berkata selain fokus mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia, ISWAMI juga merancang mengadakan program kerjasama media melibatkan kedua-dua negara.
“Antaranya pertukaran wartawan, seminar, forum, bengkel dan webinar, perancangan sambutan Hari Wartawan Nasional 2022, penyertaan ISWAMI Malaysia pada Hari Pers Indonesia 2022.
Selepas ini, Mokhtar akan mengumumkan pelantikan ahli jawatankuasa yang baharu dalam tempoh terdekat.
Secara tradisinya, ia akan diwakili ketua-ketua pengarang atau pimpinan utama media selain tokoh-tokoh wartawan di Malaysia.
Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail turut berada dalam kepimpinan tertinggi persatuan itu apabila dilantik menjadi Naib Presiden 2.
ISWAMI ditubuhkan pada 8 Januari 2008 dan dianggotai pelbagai agensi, pertubuhan serta organisasi media Malaysia.
ISWAMI turut ditubuhkan di Indonesia yang ketika ini dipimpin Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan.
Persatuan itu ditubuhkan bertujuan mengharmoniskan hubungan Malaysia dan Indonesia, dalam menangani isu-isu berkepentingan bersama, selain berperanan sebagai pengantara kepada media di kedua-dua negara dalam menangani isu-isu semasa.
Berikut senarai pimpinan dan jawatankuasa baharu ISWAMI untuk tahun 2021/2023:
Presiden : Datuk Mokhtar Hussain (BERNAMA)
Timbalan Presiden : Datuk Zulkefli Hamzah (UtusanTV)
Naib Presiden 1 : Rozaid Abdul Rahman (Sinar Harian)
Naib Presiden 2 : Ashwad Ismail (Astro Awani)
Setiausaha : Mohd Shukri Ishak (BERNAMA)
Bendahari : Ahmad Yani Abd Manaf (Karangkraf)
Penolong Bendahari : Azhar Abu Samah (Berita Harian)
Setiausaha Kerja : Mohd Razman Abdullah (BERNAMA)
#Iswami #wartawan #Malaysia dan Indonesia #persatuan
;