Media Malaysia dan Indonesia perlu lebih strategik kukuhkan hubungan

Bernama
September 11, 2017 21:47 MYT
Media Malaysia dan Indonesia perlu bijak menangani setiap isu dan perlu pantas menyejuk dan mententeramkan sesuatu isu agar tidak berpanjangan.
Media Malaysia dan Indonesia perlu bertanggungjawab dan berperanan lebih strategik bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara, kata Ketua Delegasi Korps Alumni Himpunan Mahasiswa (KAHMI) Forever Jalan Sihat, Ferry Murshidan Bardan.
Katanya, media perlu bijak menangani setiap isu dan perlu pantas menyejuk dan mententeramkan sesuatu isu agar tidak berpanjangan.
"Peri pentingnya peranan media itu bila berlaku isu antara dua negara, misalnya isu bendera yang dicetak terbalik pada temasya Sukan SEA baru-baru ini, seolah-olah ada perseteruan yang kuat antara Malaysia dan Indonesa, padahal tiada apa-apa, jadi di sini media perlu strategis dalam menanganinya," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.
Delegasi 21 orang itu turut disertai Setiausaha Kerja Ikatan Setia Kawan Wartawan Indonesia Malaysia (Iswami), Sabaruddin Ahmad Sabri.
Ferry yang juga mantan menteri Agraria dan Tata Ruang Indonesia berkata dengan perkembangan teknologi terkini menjadi satu kelebihan kepada media untuk memastikan kesahihan suatu informasi dan menyiarkannya dalam masa yang pantas kepada khalayak.
Beliau turut memuji Bernama yang mengambil inisiatif menerbitkan rancangan khusus berbentuk kerjasama dua negara iaitu Khabar Merah Putih menerusi Radio Bernama 24 dan Salam Dari Jakarta terbitan Bernama News Chanel (BNC).
Sementara itu Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata sebagai agensi berita nasional, Bernama sentiasa prihatin mengenai jalinan hubungan kedua-dua negara.
"Bernama berusaha dari segi memberikan informasi tepat, maklumat bahkan melalui cara menerbitkan rancangan yang boleh merapatkan jurang antara rakyat Malaysia dan Indonesia.
Menerusi program Khabar Merah Putih itu, warga Indonesia yang ramai bekerja di Malaysia dapat mengikuti perkembangan terkini di Indonesia, selain maklumat mengenai peraturan yang perlu dipatuhi di negara ini, katanya.
Mengulas mengenai isu bendera yang tercetus ketika berlangsungnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini, beliau berkata Bernama berperanan menyiarkan maklumat daripada saluran rasmi dan tidak rasmi memberitahu kepada rakyat Malaysia dan Indonesia perkara tersebut telah diselesaikan dengan baik.
"Situasi yang panas akibat isu berkenaan dapat kita redakan dalam masa 24 jam," katanya.
Sementara itu, selain sesi ramah mesra dengan pengurusan Bernama, delegasi KAHMI juga dibawa melawat termasuk ke Jabatan Pengarang, bilik berita Radio 24 dan bilik berita BNC.
-- BERNAMA
#bendera terbalik #hubungan #Indonesia #isu #krisis #Malaysia #Media
;