Media mainkan peranan penting dalam membentuk persepsi, naratif terhadap negara-negara
Bernama
Oktober 21, 2023 19:24 MYT
Oktober 21, 2023 19:24 MYT
PUTRAJAYA: Media adalah suatu alat ampuh komunikasi dan telah memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi dan naratif terhadap negara-negara, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Dalam dunia tanpa sempadan, beliau berkata peranan media selaku jambatan antara negara perlu diiktiraf kerana ia membenarkan negara-negara berkongsi kisah, pengalaman dan perspektif mereka dengan seluruh dunia.
"Ia adalah satu saluran untuk maklumat, budaya dan nilai yang boleh menjangkaui sempadan dan membina jambatan untuk kefahaman," katanya pada perasmian Minggu Media ASEAN-China kelima di sini hari ini.
Fahmi berkata menerusi Minggu Media ASEAN-China, rantau ini berpeluang bukan hanya mengetengahkan kekayaan dan kepelbagaian kebudayaannya tetapi juga mencabar persepsi dan menyahkan salah faham menerusi dialog secara terbuka dan jujur untuk masa depan yang lebih harmoni penuh dengan kerjasama.
Minggu Media ASEAN-China dengan tema "Sharing New Achievements, Jointly Creating New Audio-visual Experiences and Building a New Home Together" juga akan membenarkan rantau ini untuk meneroka bagaimana industri media boleh bekerjasama untuk mencipta sebuah masa depan rantau ini yang mempunyai ciri-ciri seperti lebih berpengetahuan, kesalinghubungan dan makmur, kata beliau.
"Kita juga perlu menangani cabaran paling mendesak pada waktu ini. Media berperanan untuk memudahkan kefahaman dalam isu-isu kritikal seperti perubahan iklim, pembangunan ekonomi dan kesihatan awam," kata Fahmi.
Beliau berkata kesalinghubungan adalah tumpuan perkongsian masa depan sama ada menerusi saluran media tradisional, media sosial atau teknologi yang baharu muncul dan mempunyai potensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi, pertukaran budaya dan pembangunan sosial.
Kesalinghubungan yang baik datang dengan keperluan untuk bertanggungjawab menangani cabaran seperti maklumat salah, ancaman siber dan potensi penyalahgunaan media bagi tujuan memecahbelahkan perpaduan," katanya.
Pertama kali dianjurkan di luar China, Malaysia buat julung kalinya menjadi tuan rumah Minggu Media ASEAN-China yang juga merupakan platform untuk meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China pada tahun hadapan.
Program tahunan sejak 2021 anjuran bersama antara China dan negara anggota ASEAN itu merupakan program pertukaran budaya dan kerjasama dalam bidang media serta penyiaran dengan penglibatan organisasi yang berkaitan.
-- BERNAMA