Media main peranan penting dalam pembangunan Sabah - Hajiji
Bernama
April 14, 2023 04:53 MYT
April 14, 2023 04:53 MYT
KOTA KINABALU: Media memainkan peranan penting dalam pembangunan Sabah dan rakyat, antara lain laporan berita yang dihasilkan menjadi sumber maklumat kepada kerajaan untuk mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata media perlu terus mendengar dan melaporkan berbagai isu supaya tindakan boleh diambil terutama melibatkan kebajikan rakyat dan kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik dalam mengambil tindakan.
Hajiji turut menyeru media supaya terus menyokong agenda pembangunan kerajaan terutama Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memasuki tahun ketiga pelaksanaan.
"Kerajaan Sabah menghargai peranan anda (media). Kerajaan menzahirkan terima kasih kepada media dalam melaporkan usaha yang telah, sedang dan akan dilakukan kerajaan.
"Malah semasa pergolakan politik di negeri ini baru-baru ini, media antara sumber maklumat utama untuk rakyat mengetahui situasi sebenar," katanya berucap pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media Sabah di sini semalam.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong, Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Mugunthan Vanar dan Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu Jimmy Goh.
Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa memantau dan menilai semula prestasi jenteranya supaya kekal pada tahap optimum.
"Sebagai contoh, kita tidak teragak-agak untuk merombak mana-mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan yang tidak mencapai prestasi malah kita juga sedang dalam proses meneliti beberapa entiti untuk penstrukturan semula. Ini perlu supaya tidak membebankan negeri," katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa pengamal media supaya bertanggungjawab, profesional dan beretika dalam pelaporan supaya rakyat tidak keliru dan bimbang.
Menurut Hajiji, media massa berperanan penting dalam memastikan perpaduan terus utuh dan memupuk keamanan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
"Kerajaan negeri sentiasa berharap supaya pihak media terus bekerjasama dalam menghasilkan laporan berita yang positif dan seimbang serta memelihara sensitiviti agama dan kaum," katanya.
-- BERNAMA