Media kini semakin bebas - Wan Azizah
Bernama
Oktober 12, 2018 05:00 MYT
Oktober 12, 2018 05:00 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata media kini semakin bebas dalam membuat laporan berita di bawah pentadbiran kerajaan baharu.
Katanya, kebebasan itu seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh pengamal industri itu untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.
"Apabila kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negara, media itu memang kita beri kebebasan, dan kemudahan diberikan tidak kira media itu daripada mana.
"Saya rasa sekarang suasana kebebasan itu ada, saya rasa bukan sahaja warganegara biasa yang merasakannya tetapi saya rasa pihak media juga berasa begitu," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, katanya, kebebasan itu tidak harus disalah guna dan media perlu sentiasa mengamalkan etika kewartawanan yang baik serta bertanggungjawab ke atas setiap laporan yang dikeluarkan selain tidak memutarbelitkan fakta atau membuat spekulasi melulu.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan media pada PRK Port Dickson berbanding laporan media sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan yang terdahulu.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah, yang juga presiden PKR berpendapat, PRK kali ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden walaupun ia menyaksikan pertembungan sengit antara calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan calon lain.
"Kita ada bekas menteri besar, personaliti media sosial dan calon lain yang bersama-sama bertanding bagi PRK kali ini," katanya.
PRK Parlimen Port Dickson esok akan menyaksikan saingan tujuh penjuru antara Anwar dengan calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad serta bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
-- BERNAMA
#berita
#etika kewartawanan
#fakta
#Kebebasan Media
#kerajaan
#laporan
#Malaysia Baharu
#Media
#Pakatan Harapan
#spekulasi
#Wan Azizah Wan Ismail